Lovely U Olls

Misteri

03 August 2010

Pembangunan komuniti selesai masalah penduduk

KUALA LUMPUR 20 Dis. - Konsep pembangunan komuniti yang dilaksanakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menyelesaikan masalah penduduk di sesebuah kawasan mempunyai prinsip-prinsip demokrasi yang harus difahami oleh semua pihak.

Ketua Pengarah JKM, Datuk Meme Zainal Rashid berkata, pendekatan tersebut memberi peluang kepada penduduk supaya turut serta dan bekerjasama dengan agensi pelaksana untuk memperoleh kemajuan daripada segi material dan sosial.

Beliau berkata, penglibatan dan kerjasama ini juga mampu melahirkan daya cipta baru dalam komuniti seperti mengekalkan idea yang kreatif, cara menyusun dan membimbing organisasi sosial dengan lebih berkesan.

''Pembangunan komuniti mempunyai potensi yang besar sebagai salah satu pendekatan dalam usaha membangunkan masyarakat keseluruhannya.

''Melalui pendekatan pembangunan komuniti, ahli komuniti dapat meningkatkan keupayaan diri sendiri melalui penglibatan aktif dalam merancang, melaksana dan menilai program pembangunan komuniti yang dijalankan,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis penutupan Program Pembangunan Lestari di Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai di sini hari ini.

Program sehari itu turut disertai agensi-agensi kerajaan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) serta Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN).

Antara aktiviti yang diadakan ialah pameran daripada agensi terbabit, pertandingan mewarna dan persembahan kanak-kanak PPR berkenaan.

Dalam pada itu kata beliau, JKM telah menempatkan dua kakitangannya di tiga PPR di sini bagi membantu penghuni menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Beliau berkata, tiga PPR tersebut ialah PPR Seri Pantai dan Seri Pahang di Lembah Pantai dan Lembah Subang dipilih dalam projek perintis pembangunan komuniti itu.

''Mereka bukan sahaja bertanggungjawab dalam memberi maklumat malah membantu memberi khidmat sokongan sosial dan sukarela kepada setiap golongan yang memerlukan di PPR,'' katanya.

No comments:

mISteri

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...